AURA (1975-2022)

Semalam, salah seorang teman, Mohd Azlin bin Zabery pulang ke rahmatullah selepas hampir 2 minggu bergelut dengan kanser paru-paru. Melihat Aura, nama panggilannya untuk teman-teman, tercungap-cungap mengambil nafas di atas katil hospital dibantu alat pernafasan, saya teringatkan arwah Babah yang berada dalam keadaan yang sama tahun lepas. Bezanya, Babah diberi ubat penenang supaya dia tidak berada dalam kondisi itu.

Saya sudah lama tidak bertemu dengan Aura. Saya cuba mengimbas kembali memori bila kali terakhir saya bertemu dengan dia tetapi gagal mengingati bila dan di mana. Saya ada berbual dengannya tahun lepas ketika arwah Babah baru meninggal. Itulah kali terakhir perbualan saya dengan dia. Kami berbual tentang keredhaan menerima kematian, bagaimana apabila sudah tiba masa, tidak ada satu pun akan dapat menghalang ketentuan itu. Selepas itu, kami meneruskan kehidupan masing-masing.

Pada 10 Mac, apabila mendapat tahu tentang dia di hospital untuk prosedur membuang air dari paru-paru, langsung tidak terlintas yang dia sedang mengidap kanser. Saya sangkakan dia sakit paru-paru berair. Cara dia berinteraksi di Whatsapp pula nampak seperti dia sedang ok, dan saya pula dungu untuk tidak menelefon atau menghantar mesej peribadi kepadanya.

Tetapi itulah, apabila berlaku kematian, akan muncul terlalu banyak kalau. Kalaulah aku telefon, kalaulah aku teks, kalaulah aku prihatin. Tetapi yang pergi akan tetap pergi, tidak ada magis yang boleh memutarkan kembali waktu itu untuk memenuhi tuntutan kalau kita. Melihat kematian kedua ibu-bapa saya tahun lalu membuatkan saya tenang melihat pemergian Aura. Saya kira dia berada di tempat lebih baik, pulang ke pangkuan Penciptanya.

Dan saya kira dia juga tidak perlu lagi menanggung kesengsaraan kanser paru-parunya. Saya melihat bagaimana Babah hilang semangat untuk hidup selepas tahu dia mengidap kanser, dan sebagai anak yang mahu dia sihat semula, saya berasa sedih melihat dia dalam keadaan itu. Saya kira Aura tidak perlu menangung kesakitan itu yang pasti juga membuatkan orang yang tersayang berduka.

Aura seorang teman yang berbakat. Dia merupakan salah seorang colorist yang hebat di Malaysia. Saya ingat betapakan terkesimanya saya tiap kali melihat dia mewarnakan latar untuk animasi atau komik yang kami sama-sama bikin dahulu (saya memang kurang cekap dalam bab mewarna). Dia juga teman yang baik; disenangi oleh semua. Dia suka bersukan, memancing dan bermain game. Semalam waktu berbual dengan salah seorang teman, baru saya teringat dialah yang mengajak saya untuk bermain futsal dengan geng-geng MOY waktu bekerja di Subang dulu. Saya dan isteri juga, waktu berpacaran, pernah mengikut Aura pergi memancing di Pulau Ketam. Saya ingat lagi kami makan di Restoran ABC selepas pulang dari sana.

Semalam juga, saya bertemu juga rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Masing-masing terkejut kerana Aura pergi terlalu pantas. Kanser selnya saya kira agresif sehingga tak sampai 2 minggu dia pergi. Masing-masing ada cerita dan memori tentang Aura yang bila diceritakan mengundang senyum di bibir. Benarlah kata Keanu Reeves, apabila kita pergi, orang yang kita sayang akan sentiasa merindui kita. Pemergian Aura membawa kepada pertemuan kami semua, rakan-rakannya yang masih hidup. Kami meraikan memori bersama Aura semasa dia masih hidup, meraikan kebaikan dan kehebatannya. Kematian bukan sekadar kesedihan, tetapi juga keraian hidup arwah yang benar-benar hidup menikmati kehidupannya.

Saya menulis tentang Aura kerana saya mahu mengingati detik ini. Detik yang saya pasti akan kerap lagi muncul menyusuri hidup yang semakin berumur. Saya tidak tahu bila masa saya akan tiba, tapi saya mahu hidup semahunya, tidak mahu menyesali atas katil kematian saya benda-benda yang saya tidak capai atau tidak cuba sepanjang hidup saya.

Melihat kematian adalah untuk kita mengingati yang kita harus hidup semahunya tanpa ada sesalan.

Debu Debu Emel

Sudah kebiasaan aku akan terjaga sekitar 6 pagi oleh kerana sudah terbiasa atau bahasa saintifiknya body clock (aku cuba cari terjemah perkataan ini dan yang aku jumpa adalah jam badan). Selepas sarapan, aku membuat kerja yang dihantar pagi ini (timeline untuk sebuah lagi produksi yang kalau jadi, akan ambil masa satu tahun untuk selesaikan). Sambil sambil buat kerja, periksa whatsapp, emel, baca artikel.

Dan aku sedar dalam emel peribadi aku ada hampir 1K++ emel yang belum dibaca. Baru baru ini aku ada langgan newsletter dari New York Times dan kebanyakan emel baru yang aku dapat adalah morning/evening/breakingnews dari NYT. Aku suka membaca news dari platform yang satu ini masalahnya pula selepas 5 artikel, akses aku akan disekat.

Jadi pagi ini aku menimbang tara pula cadangan untuk melanggan akses digital NYT yang cajnya USD4 sebulan. Selepas itu, aku teringat pula mahu melanggan berita dari Malaysiakini (entah kenapa). Dan layaran rawak merentasi dunia siber mengingatkan aku tentang aku masih ada laman web ini yang kali terakhir dikemaskini pada 2017. Haha.

Tahun 2018 aku berjaya habiskan 365 hari jurnal dalam Hobonichi. Tahun ini, banyak yang lompong. Tapi aku berjaya juga tulis catatan-catatan pendek dan rawak dalam jurnal Muji.

Tahun 2019 dah berada dalam penggal ketiga. Imbas semula, 2019 memang menarik. Aku dapat crash course dalam bidang penerbitan dengan terlibat dalam penerbitan satu telemovie dan satu siri 10 episod yang sangat intense pembikinannya. Aku dapat mengarah separuh telemovie sama rakan bisnes aku. Aku terlibat dalam pos produksi untuk bikin subtitles yang sangat mencabar. Aku berjaya bikin satu rancangan bual bicara dengan Sheikh Hussain Yee yang sangat ilmiah dan memberikan kesan secara peribadi kepada aku. Aku berjaya ke Korea (terima kasih pada isteri tercinta Irmy yang membuat perancangan untuk menonton konsert Epik High) dan aku secara rasminya kembali gemuk.

Apapun aku cuba menulis secara rawak di sini dan masih ada emel yang berdebu dalam akaun aku untuk dibersihkan.

2017

12 hari sudah berlalu setelah kita meraikan ketibaan tahun 2017. Aku menyambut kedatangannya di rumah abang ipar di Alor Gajah, Melaka, tertidur di atas sofa menantikan detik 12 malam, sementara anak buah dan anak-anak aku sibuk cuba memutarkan silinder confetti yang entah apa kenamanya. Sebelum itu kami beramai-ramai ke Bandar Cowboy A’Famosa melihat pertunjukkan Red Indian, perarakan 1Malaysia dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api. Menonton bersama Idris dan Imaan membuatkan pengalamannya itu menarik walaupun persembahan mereka tidaklah menarik sangat.

12 hari sudah berlalu. Masih ada baki kerja tertangguh untuk dilunaskan dalam tahun 2017. Sebuah filem yang membawa aku mengembaraan ke kota London buat pertama kali, sebuah super tele seram thriller harus aku selesaikan. Juga projek mengadaptasi novel yang ke-3, yang aku harap yang terakhir (pulangannya baik membuatkan kau sukar untuk berkata tidak).

Aku berpeluang untuk masuk ke dalam writer’s room yang dikelolakan oleh produser dari negara jiran, Singapura. Aku jarang sekali dapat merasai proses itu, jadi ia amat segar sekali. Proses mencipta karakter kemudian berbincang dan berdebat mengenai apa yang ya atau tidak sangat menyegarkan, dan ada sistem yang aku rasa amat efektif untuk diadaptasikan dalam proses kerja sendiri.

Ada satu lagi sesi writer’s room yang akan bermula tidak lama lagi. Sebuah mini siri 6 episod. Aku teruja untuk bermula.

++

Setakat ini aku baru menonton 2 filem saja :

+ Swiss Army Man
+ The Arrival

Dan sedang membaca :

+ Open City/Teju Cole
+ The Way of the Runner/Adharanand Finn

Aku perlu membaca satu lagi karya Melayu/Indonesia. Mungkin aku patut habiskan Cantik Itu Luka. Sudah beberapa kali aku mula dan berhenti baca jadi kali ini patut habiskannya saja.

 

Jadi

Jadi pagi ini tiba-tiba aku teringat Norah Jones. Entah kenapa. Pada tahun 2002 (man, itu 13 tahun yang lepas), memang aku lenjan mainkan kasetnya dalam pemain kaset Kancil aku. Antara album yang aku suka.

Jadi aku pun mainkan dalam Spotify, melayan albumnya ‘Come Away With Me’. Memang lunak suara minah ni.

Jadi pagi ini juga aku teringat usaha aku untuk mencatit semua filem yang aku tonton, buku dan komik yang aku baca (terinspirasi daripada Steven Soderbergh). Man, banyak juga yang dah terlepas. Tapi semalam aku habiskan menonton Locke. Damn, satu pelakon, satu lokasi. Olahan ceritanya sangat mencengkam. Lakonan Tom Hardy memang tip-top dan cerita hanya digerakkan oleh perbualan dalam telefon. Best weh. Penamatnya pun best. Masa tayangan 84 minit. Cukup perencah dan citarasanya.

Jadi semalam pun aku habiskan buku pertama aku untuk 2015. Yes! Oklah ceritanya. Sekarang aku mau baca pula autobiografi Ingmar Bergman. Aku tak pernah nonton filem-filemnya jadi patut mula menonton. Kat Youtube pun ada bersepah.

Jadi tahun ini aku mahu bikin benda-benda yang puaskan hati aku. Harapnya menjadi.

Gothik

Selepas pulang dari NYFA pada Disember 2013, saya berpeluang untuk mengarah satu filem pendek 2o minit bertajuk ‘Makhfi’ untuk tayangan di TV9. Ia diterbitkan oleh Mermaid Studios. Hanya ada 2 pelakon – saudara Khir Rahman dan Erna, saudara Awie sebagai Pengarah Sinematografi dengan 2 krew, Izuan Mokhtar sebagai Pengurus Projek dan saya sebagai Pengarah, Penolong Pengarah, Pengarah Seni dan sebagainya.

Filem itu berjaya disiapkan dan ditayangkan. Malah ia dapat satu potongan dari LPF (dan bahagian paling penting) kerana babak yang dipotong itu melanggar syariat Islam.

Satu perkara penting saya belajar dari projek itu – jangan shoot kalau pra-produksi tidak mencukupi.

Selepas projek itu, saya tidak mengarah atau masuk ke set lagi. Tetapi pada Sabtu lepas, saya berpeluang masuk set filem Gothik sebagai krew. Filem ini adalah arahan teman saya, saudara Amri Rohayat. Dan ya, betapa seronoknya perasan apabila berada di set. Ia mengingatkan saya kenapa saya masuk dan kekal dalam bidang perfileman. Kerana saya mahu bercerita. Dan untuk menyampaikan cerita itu, ia adalah satu projek koloborasi.

Penggambaran Gothik menjadi seronok kerana ia dibikin sesama teman-teman. Sepanjang proses itu, banyak yang saya belajar hanya dengan memerhati DOP, produser, AD bekerja.

Ia juga mengingatkan saya yang filem adalah media untuk Pengarah bercerita dengan cara ia. Tak kisahlah apa pun outputnya, yang penting idea si Pengarah diterjemahkan menjadi realiti. Dan selepas itu, apa pun kritikan atau komen daripada peminat, pengkritik menjadi sekunder kerana filem sudah siap, terpulanglah macam mana audiens mahu menilainya.

Cecita

Lately bila aku nampak ulang tayang The Voice musim ke-7 di saluran Star (atau AXN, aku tak ingat) aku akan layan. Sebelum ni tak pernah pun layan tapi mungkin sebab musim ni ada Gwen Stefani (damn, dia hot untuk wanita berumur 40-an), jadi aku terjebak. Aku tak arif sangat tentang format the Voice ni sebab masa tengok sama ada tengah blind audition ataupun tengah battle. Lebih daripada itu, aku tak tau.

Tapi itu bukan poinnya. Masa nonton semalam, aku terfikir tentang secara globalnya, ramai sebenarnya yang bercita-cita untuk menjadi artis (atau penyanyi). Bukan hanya di Malaysia malahan seluruh dunia. Kalau orang jelak dengan Akademi Fantasia, rancangan-rancangan lain kat luar sana pun dah bermusim-musim. Jadi memang kemasyhuran itu menjadi idaman setiap insan (secara sedar ataupun pra-sedar).

Cerita-Cerita Kecil

Semalam aku baca This One Summer, novel grafik karya Jillian dan Mariko Tamaki. Ingat nak baca sedikit dulu tapi sudahnya selesai sekali hadap. Cerita pasal Rose yang pergi habiskan musim panasnya di Awago Beach. Ceritanya berskala kecil – tentang persahabatan Rose dan Windy, pasal konflik ibu bapa Rose, hubungan Rose dan ibunya. Aku suka cerita-cerita kecil macam ni kerana ia selalunya lebih dekat dengan kita, lebih peribadi,
lebih intim. Tak kisahlah dalam bentuk komik, novel atau filem. Jadi memang tak rugilah angkat buku ni.

Ini pautannya di Amazon – This One Summer

Tapi kat Kino KLCC pun ada.

Heyyy braderrrr

Bulan lepas memang sibuk. Sibuk tahap gaban, kalau kau kenal gaban tu siapa. Entah-entah Gaban pun tak sibuk camni sebab dia hanya perlukan 0.05 saat untuk bertukar menjadi Gaban. Jadi mesti dia laju buat benda lain, kan? Kan?

Ahad ni lari SCKLM. Aku buat half-marathon. Hajat di hati nak capai PB 2:10 minit. Aku akan berusaha. Isnin lepas training 1km interval. Tak pernah seumur hidup aku bernafas kencang camtu sambil cuba lari laju. Nak tercabut jantung, weh.

Bulan ni jugak aku dihenyak oleh satu realiti yang entah selama ni aku sedar tapi saja tak ambil pot. Banyak juga projek diri sendiri yang aku tak lunaskan rupanya. Sibuk buat orang punya, diri sendiri punya tak buat (ataupun sebenarnya takut nak buat). Well, now it’s time to act! Jangan banyak cakap je, brader (nota pada diri sendiri).

Perihal Kerja Dan Sewaktu Dengannya

Minggu lepas terisi dengan mesyuarat. Banyak gila. Membincangkan tv siri yang bakal menjalani pengambaran, struktur episod siri yang sedang menjalani pengambaran (dan menulis parallel dengan shooting memang menguja dan memenatkan) dan beberapa lagi projek yang sepatutnya berjalan.

Mesyuarat ok sebenarnya tapi kalau 1-2 mesyuarat dipadatkan dalam sehari, ia akan menghisap tenaga kau kering seperti seekor pontianak menghisap darah mangsanya (ok, tu je analogi yang aku dapat fikirkan pada subuh yang sejuk ni). Lepas balik mesyuarat kepala otak aku ni akan fikirkan alasan kenapa aku sepatutnya tidak berada di hadapan komputer melunaskan kerja. Heh.

Dan jadual berlari aku kucar-kacir juga minggu lepas. Hanya lari sekali saja. 30 minit. Impian untuk berlatih berlari sejauh 30km terkubur begitu saja sebab Sabtu bertugas di rumah terbuka Mak dan Ahad berjalan di Color Run anjuran CIMB. Minggu ni takde alasan untuk tangguhkan larian. Minggu ni 5 kali. Jangan banyak songeh. Ini satu lagi dilema yang membelenggu aku juga sekarang ini. Membahagikan masa antara kerja dan bersenam.

Bersenam taklah ambil masa yang lama sangat. Dalam 1-2 jam je sehari tapi aku selalu torn antara kerja atau bersenam. Selalunya kerja yang menang tapi pada hari aku ‘don’t give a fuck’ aku pilih bersenam. Maklumlah zaman sekarang ini obsesi dengan kerja menjadi satu kebanggaan juga untuk para workoholic.

Which bring us to a topic that my friend and I was discussing last week. Aku ke pejabatnya untuk menjadi hakim pertandingan cerpen yang dianjurkan oleh syarikatnya. Dia dalam bidang pengiklanan. Kami berbual mengenai budaya mengagungkan kerja. Lagi banyak dan gila kau kerja, lagi best. Which is wrong, IMO. Sebab kerja sampai bila-bila pun takkan habis. Aku punya take ialah kita patut fokus dalam buat kerja. Jadi kau tak ber ohh! La! La waktu bekerja (aku pun susah nak fokus bila adanya internet. Melayari laman web memang makan masa kau camtu je). Bagi aku kena ada keseimbangan. Selain kerja, masa boleh dihabiskan dengan banyak aktiviti lain – berlibur sama teman dan famili, membaca, menonton, bersenam dan sebagainya.

Nikmati hidup ini seadanya (dan jangan bekerja je!)

Elarti Malam

Semalam usai menamatkan larian malam Energizer, aku menaiki elarti Star menuju ke Seri Petaling. Jam kala itu pukul 10 lebih. Keadaan lepas lari tahulah, kepam. Kali terakhir aku naik elarti dalam keadaan kepam masa latihan ragbi circa 2002. Masa tu lagi evil. Siap selut apa bagai.

Aku suka naik elarti. Ada banyak masa untuk berangan di samping melihat gelagat dan ragam orang ramai. Ada kumpulan remaja yang baru pulang daripada libur, pasangan kekasih yang bercanda dan semalam sudah tentu para pelari yang baru pulang dari acara Energizer.

Waktu elarti melewati stesen Bandar Tasik Selatan, mata aku memberkas pemandangan stesen ERL yang bertentangan. Stesen itu nampak sunyi. Kelihatan beberapa susuk manusia ditemani bag pelbagai saiz. Lampu kalimantang memancarkan cahaya kuning kusam. Visual yang amat cantik untuk diberkas dalam kamera. Dalam beberapa saat tren aku melewati pemandangan itu, pemandangan tadi membangkitkan rasa melankoli dan sunyi.

Perasaan yang sama aku rasai ketika tren bawah tanah New York berselisih. Dalam masa beberapa saat itu, kau dapat lihat wajah-wajah manusia semuanya menyimpan seribu satu cerita yang kau tak tahu.

Tetapi yang pasti semua orang yang sedang menunggu atau dalam tren mempunyai matlamat yang sama; untuk sampai ke destinasi.

Aku membiarkan perasaan itu membuai aku sehingga stesen ERL
hilang daripada pandangan. Menunggu giliran lain untuk menaiki elarti.