2017

12 hari sudah berlalu setelah kita meraikan ketibaan tahun 2017. Aku menyambut kedatangannya di rumah abang ipar di Alor Gajah, Melaka, tertidur di atas sofa menantikan detik 12 malam, sementara anak buah dan anak-anak aku sibuk cuba memutarkan silinder confetti yang entah apa kenamanya. Sebelum itu kami beramai-ramai ke Bandar Cowboy A’Famosa melihat pertunjukkan Red Indian, perarakan 1Malaysia dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api. Menonton bersama Idris dan Imaan membuatkan pengalamannya itu menarik walaupun persembahan mereka tidaklah menarik sangat.

12 hari sudah berlalu. Masih ada baki kerja tertangguh untuk dilunaskan dalam tahun 2017. Sebuah filem yang membawa aku mengembaraan ke kota London buat pertama kali, sebuah super tele seram thriller harus aku selesaikan. Juga projek mengadaptasi novel yang ke-3, yang aku harap yang terakhir (pulangannya baik membuatkan kau sukar untuk berkata tidak).

Aku berpeluang untuk masuk ke dalam writer’s room yang dikelolakan oleh produser dari negara jiran, Singapura. Aku jarang sekali dapat merasai proses itu, jadi ia amat segar sekali. Proses mencipta karakter kemudian berbincang dan berdebat mengenai apa yang ya atau tidak sangat menyegarkan, dan ada sistem yang aku rasa amat efektif untuk diadaptasikan dalam proses kerja sendiri.

Ada satu lagi sesi writer’s room yang akan bermula tidak lama lagi. Sebuah mini siri 6 episod. Aku teruja untuk bermula.

++

Setakat ini aku baru menonton 2 filem saja :

+ Swiss Army Man
+ The Arrival

Dan sedang membaca :

+ Open City/Teju Cole
+ The Way of the Runner/Adharanand Finn

Aku perlu membaca satu lagi karya Melayu/Indonesia. Mungkin aku patut habiskan Cantik Itu Luka. Sudah beberapa kali aku mula dan berhenti baca jadi kali ini patut habiskannya saja.