AURA (1975-2022)

Semalam, salah seorang teman, Mohd Azlin bin Zabery pulang ke rahmatullah selepas hampir 2 minggu bergelut dengan kanser paru-paru. Melihat Aura, nama panggilannya untuk teman-teman, tercungap-cungap mengambil nafas di atas katil hospital dibantu alat pernafasan, saya teringatkan arwah Babah yang berada dalam keadaan yang sama tahun lepas. Bezanya, Babah diberi ubat penenang supaya dia tidak berada dalam kondisi itu.

Saya sudah lama tidak bertemu dengan Aura. Saya cuba mengimbas kembali memori bila kali terakhir saya bertemu dengan dia tetapi gagal mengingati bila dan di mana. Saya ada berbual dengannya tahun lepas ketika arwah Babah baru meninggal. Itulah kali terakhir perbualan saya dengan dia. Kami berbual tentang keredhaan menerima kematian, bagaimana apabila sudah tiba masa, tidak ada satu pun akan dapat menghalang ketentuan itu. Selepas itu, kami meneruskan kehidupan masing-masing.

Pada 10 Mac, apabila mendapat tahu tentang dia di hospital untuk prosedur membuang air dari paru-paru, langsung tidak terlintas yang dia sedang mengidap kanser. Saya sangkakan dia sakit paru-paru berair. Cara dia berinteraksi di Whatsapp pula nampak seperti dia sedang ok, dan saya pula dungu untuk tidak menelefon atau menghantar mesej peribadi kepadanya.

Tetapi itulah, apabila berlaku kematian, akan muncul terlalu banyak kalau. Kalaulah aku telefon, kalaulah aku teks, kalaulah aku prihatin. Tetapi yang pergi akan tetap pergi, tidak ada magis yang boleh memutarkan kembali waktu itu untuk memenuhi tuntutan kalau kita. Melihat kematian kedua ibu-bapa saya tahun lalu membuatkan saya tenang melihat pemergian Aura. Saya kira dia berada di tempat lebih baik, pulang ke pangkuan Penciptanya.

Dan saya kira dia juga tidak perlu lagi menanggung kesengsaraan kanser paru-parunya. Saya melihat bagaimana Babah hilang semangat untuk hidup selepas tahu dia mengidap kanser, dan sebagai anak yang mahu dia sihat semula, saya berasa sedih melihat dia dalam keadaan itu. Saya kira Aura tidak perlu menangung kesakitan itu yang pasti juga membuatkan orang yang tersayang berduka.

Aura seorang teman yang berbakat. Dia merupakan salah seorang colorist yang hebat di Malaysia. Saya ingat betapakan terkesimanya saya tiap kali melihat dia mewarnakan latar untuk animasi atau komik yang kami sama-sama bikin dahulu (saya memang kurang cekap dalam bab mewarna). Dia juga teman yang baik; disenangi oleh semua. Dia suka bersukan, memancing dan bermain game. Semalam waktu berbual dengan salah seorang teman, baru saya teringat dialah yang mengajak saya untuk bermain futsal dengan geng-geng MOY waktu bekerja di Subang dulu. Saya dan isteri juga, waktu berpacaran, pernah mengikut Aura pergi memancing di Pulau Ketam. Saya ingat lagi kami makan di Restoran ABC selepas pulang dari sana.

Semalam juga, saya bertemu juga rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Masing-masing terkejut kerana Aura pergi terlalu pantas. Kanser selnya saya kira agresif sehingga tak sampai 2 minggu dia pergi. Masing-masing ada cerita dan memori tentang Aura yang bila diceritakan mengundang senyum di bibir. Benarlah kata Keanu Reeves, apabila kita pergi, orang yang kita sayang akan sentiasa merindui kita. Pemergian Aura membawa kepada pertemuan kami semua, rakan-rakannya yang masih hidup. Kami meraikan memori bersama Aura semasa dia masih hidup, meraikan kebaikan dan kehebatannya. Kematian bukan sekadar kesedihan, tetapi juga keraian hidup arwah yang benar-benar hidup menikmati kehidupannya.

Saya menulis tentang Aura kerana saya mahu mengingati detik ini. Detik yang saya pasti akan kerap lagi muncul menyusuri hidup yang semakin berumur. Saya tidak tahu bila masa saya akan tiba, tapi saya mahu hidup semahunya, tidak mahu menyesali atas katil kematian saya benda-benda yang saya tidak capai atau tidak cuba sepanjang hidup saya.

Melihat kematian adalah untuk kita mengingati yang kita harus hidup semahunya tanpa ada sesalan.