Potluck

Semalam potluck Hari Raya bersama teman-teman asrama. Rata-rata yang hadir memang muka familiar tapi ada
seorang dua yang dah tak jumpa lebih 10 tahun. Kami semua dah 35 tahun tetapi bila duduk berjemaah, kami balik menjadi remaja 18 tahun yang sekolah di Raub. 22 tahun memang tempoh yang panjang. Sepanjang tempoh itu, status kami berubah. Bujang, kahwin, cerai, suami, isteri, ayah, ibu. Yang tak berubah adalah persahabatan yang lama terjalin. Semoga ia akan terus selagi nyawa dikandung badan.

Sesak

Bila sudah lama tak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas memang sakit jiwa dibuatnya. Pagi-pagi memang aku hantar anak ke sekolah jadi sangkut setengah jam tu dah jadi lumrah. Tapi pagi tadi, tak tahu kenapa, ekstra sesak. Laluan yang selalunya sangkut dalam 20 minit sudahnya makan sampai sejam setengah. Urghh. Tukar lane, cuba jalan lain, semua tak berkesan. Waze pun tak dapat mententeramkan jiwa dengan ETA-nya. Habis semua kena maki. Akhirnya duduk diam-diam, hadap saja. Nasib baiklah bukan hari-hari.

Sebabak

Pagi tadi aku menonton Breaking Bad Musim ke-5 Episod 2. Ada satu babak di mana Hank dan Gomez mengadap ASACnya George Merkert dalam pejabat. George menceritakan saat dia mengajak Gustavo Fring datang ke rumah untuk barbeku. Mereka makan, minum wain dan bergelak ketawa. Cuma dia tidak sangka Gustavo yang dia kenal itu mempunyai sisi yang gelap. Paling bangkai, dia kena tipu hidup-hidup. Siap ajak Gus datang rumah lagi (yelah, kalau kau tau dia jahat memang tak ajak lepak sekali la kan).

Sekali imbas nampak macam babak tu cuma pengisi untuk cukupkan durasi 42 minit. Tapi bila kamera berkas visual Hank di akhir babak itu, aku sedar yang secara tak langsung babak tu berkait dengan Hank. Hank pun tengah kena tipu hidup-hidup dengan iparnya Walter White yang sebenarnya Heisenberg dicari-cari.

What a great scene.

Ok. Masa untuk detoks mood Raya dari sistem badan. Sudah masuk 9 Syawal. Masa untuk kembali bekerja.

Pertama

Pada masa di mana kicauan 140 aksara, pos di dinding Facebook dan status spontan dan on the fly bermaharajalela, aku buat keputusan untuk cipta blog ini. Semalam. Kononnya untuk meraikan hari lahir ke-35 dengan kelahiran laman ini. Haha. Poyo juga sebenarnya. Mengambil inspirasi dari laman Morning, Computer milik penulis kegemaran saudara Warren Ellis. Laman ini aku cipta sebagai tempat untuk aku senamkan otot-otot penulisan yang sekarang ini hanya diguna untuk melunasi tuntutan kerja. Jadi ia akan mencatat dan merakam rasa (on the fly atau tidak) dan fikiran untuk pelbagai benda di samping berfungsi sebagai jurnal online (nak guna atas talian tapi bunyinya teruk). Segala sampah-sarap, buah fikiran dan cirit-birit prosa akan aku coretkan di sini. Harapnya tanpa tapisan. Cheers!