Elarti Malam

Semalam usai menamatkan larian malam Energizer, aku menaiki elarti Star menuju ke Seri Petaling. Jam kala itu pukul 10 lebih. Keadaan lepas lari tahulah, kepam. Kali terakhir aku naik elarti dalam keadaan kepam masa latihan ragbi circa 2002. Masa tu lagi evil. Siap selut apa bagai.

Aku suka naik elarti. Ada banyak masa untuk berangan di samping melihat gelagat dan ragam orang ramai. Ada kumpulan remaja yang baru pulang daripada libur, pasangan kekasih yang bercanda dan semalam sudah tentu para pelari yang baru pulang dari acara Energizer.

Waktu elarti melewati stesen Bandar Tasik Selatan, mata aku memberkas pemandangan stesen ERL yang bertentangan. Stesen itu nampak sunyi. Kelihatan beberapa susuk manusia ditemani bag pelbagai saiz. Lampu kalimantang memancarkan cahaya kuning kusam. Visual yang amat cantik untuk diberkas dalam kamera. Dalam beberapa saat tren aku melewati pemandangan itu, pemandangan tadi membangkitkan rasa melankoli dan sunyi.

Perasaan yang sama aku rasai ketika tren bawah tanah New York berselisih. Dalam masa beberapa saat itu, kau dapat lihat wajah-wajah manusia semuanya menyimpan seribu satu cerita yang kau tak tahu.

Tetapi yang pasti semua orang yang sedang menunggu atau dalam tren mempunyai matlamat yang sama; untuk sampai ke destinasi.

Aku membiarkan perasaan itu membuai aku sehingga stesen ERL
hilang daripada pandangan. Menunggu giliran lain untuk menaiki elarti.