Sudah kebiasaan aku akan terjaga sekitar 6 pagi oleh kerana sudah terbiasa atau bahasa saintifiknya body clock (aku cuba cari terjemah perkataan ini dan yang aku jumpa adalah jam badan). Selepas sarapan, aku membuat kerja yang dihantar pagi ini (timeline untuk sebuah lagi produksi yang kalau jadi, akan ambil masa satu tahun untuk selesaikan). Sambil sambil buat kerja, periksa whatsapp, emel, baca artikel.
Dan aku sedar dalam emel peribadi aku ada hampir 1K++ emel yang belum dibaca. Baru baru ini aku ada langgan newsletter dari New York Times dan kebanyakan emel baru yang aku dapat adalah morning/evening/breakingnews dari NYT. Aku suka membaca news dari platform yang satu ini masalahnya pula selepas 5 artikel, akses aku akan disekat.
Jadi pagi ini aku menimbang tara pula cadangan untuk melanggan akses digital NYT yang cajnya USD4 sebulan. Selepas itu, aku teringat pula mahu melanggan berita dari Malaysiakini (entah kenapa). Dan layaran rawak merentasi dunia siber mengingatkan aku tentang aku masih ada laman web ini yang kali terakhir dikemaskini pada 2017. Haha.
Tahun 2018 aku berjaya habiskan 365 hari jurnal dalam Hobonichi. Tahun ini, banyak yang lompong. Tapi aku berjaya juga tulis catatan-catatan pendek dan rawak dalam jurnal Muji.
Tahun 2019 dah berada dalam penggal ketiga. Imbas semula, 2019 memang menarik. Aku dapat crash course dalam bidang penerbitan dengan terlibat dalam penerbitan satu telemovie dan satu siri 10 episod yang sangat intense pembikinannya. Aku dapat mengarah separuh telemovie sama rakan bisnes aku. Aku terlibat dalam pos produksi untuk bikin subtitles yang sangat mencabar. Aku berjaya bikin satu rancangan bual bicara dengan Sheikh Hussain Yee yang sangat ilmiah dan memberikan kesan secara peribadi kepada aku. Aku berjaya ke Korea (terima kasih pada isteri tercinta Irmy yang membuat perancangan untuk menonton konsert Epik High) dan aku secara rasminya kembali gemuk.
Apapun aku cuba menulis secara rawak di sini dan masih ada emel yang berdebu dalam akaun aku untuk dibersihkan.